Saturday 19 November 2011

Pengajaran Mikro

Pengajaran Mikro merupakan satu latihan amali untuk guru pelatih bagi mempraktikkan segala teori dan kaedah yang telah dipelajari. Ia juga merupakan satu syarat yang mesti dipenuhi oleh guru pelatih yang mengikuti kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru.


Pengajaran Mikro secara praktik yang dipermudahkan dari segi skop dan cara mengendalikannya. Terdapat 3 aspek yang diperkecil dan dipermudahkan iaitu:
  1. Saiz kelas hanya 5 hingga 8 orang
  2. Masa mengajar yang pendek, 5 hingga 10 minit.
  3. Kemahiran mengajar ditumpukan kepada satu kemahiran sahaja.                                                                                                             
Pengajaran Mikro dapat menyediakan peluang kepada guru pelatih untuk menjalani latihan amali dalam situasi mikro yang lebih mudah dan menguasai dan meningkatkan kemahiran-kemahiran pedagogi satu persatu secara sistematik.  Selain itu guru pelatih juga dapat mengkritik diri sendiri, dan mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang berlaku semasa mengajar. Melalui Pengajaran Mikro, guru pelatih dapat mengambil langkah untuk mengatasi kelemahan yang telah dikenal pasti dan seterusnya memantapkan keyakinan diri untuk mengajar dengan berkesan  dalam bilik darjah.

Pengenalan KSSR

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan pada 2011 dengan subjek yang lebih sedikit tetapi menggunakan pendekatan yang lebih interaktif.


Melalui KSSR, pengajaran dan pembelajaran akan menggunakan modul yang akan menggantikan buku teks oleh itu guru-guru akan dilatih untuk KSSR. KSSR diharap dapat meningkatkan penguasaan murid-murid sekolah rendah khususnya dalam Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.


Pendekatan teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan menjadi lebih menarik dan interaktif di mana ia melibatkan penggunaan dua bahasa tersebut serta meningkatkan penguasaannya bagi guru-guru untuk mengajar dalam subjek Matematik dan Sains sejajar dengan matlamat kerajaan.


KSSR membahagikan mata pelajaran kepada tiga modul iaitu Modul Asas Teras, Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif.Tahap satu sekolah rendah (tahun 1 hingga 3) akan tertumpu kepada penguasaan 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) serta kemahiran asas teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai.


Sementara tahap dua sekolah rendah (tahun 4 hingga 6) akan tertumpu kepada pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai.